Friday, June 12, 2009

ISRAEL MARAH SEBUT 'NEGARA YAHUDI'

Rujuk : Berita Harian Yahudi tuduh Obama hina Netanyahu: Gambar menunjukkan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berbual dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu (kanan) di pejabat Oval. Foto ini dianggap media Yahudi sebagai menghina pemimpin mereka kerana Obama seolah-olah menunjuk kasut ke arah Netanyahu, lapor CBS News, semalam. Media Israel juga menyamakannya dengan kejadian bekas Presiden Amerika, George W Bush yang dibaling kasut oleh wartawan Iraq di Baghdad, tahun lalu. CBS News menyifatkan anggapan media Israel itu menunjukkan pemimpin mereka berasa terperangkap selepas didesak untuk menghentikan pembinaan penempatan Yahudi oleh Obama. - Foto AFP

Perdana Menteri didesak ketepi tekanan AS
BAITULMAQDIS: Parti Likud meningkatkan tekanan terhadap pemimpinnya, Benjamin Netanyahu yang juga Perdana Menteri Israel supaya mengetepikan desakan Amerika Syarikat dengan tidak menyebut perkataan 'negara Palestin' apabila beliau memberi ucapan dasar, hujung minggu ini. "Jangan guna perkataan negara Palestin," kata seorang Ahli Parlimen Likud, Miri Regev, mengulangi pandangan beberapa lagi anggota parti berkenaan.
Sehingga ini, Netanyahu tidak menyokong konsep negara Palestin dan menolak tekanan Amerika supaya membekukan kegiatan membina penempatan Yahudi di Tebing Barat yang kini didiami lebih 280,000 warga negara Israel. Pada masa sama, Netanyahu berharap ucapannya di Universiti Bar Ilan di Tel Aviv akan sedikit sebanyak mengurangkan tekanan daripada Amerika yang juga sekutu utama Israel. Cuma, beliau menghadapi masalah dalam blok kerajaan campuran pimpinannya kerana ada pihak menolak negara Palestin, tetapi ada yang menyokong, termasuk Menteri Pertahanan dan pemimpin Buruh, Ehud Barak.
Regev, bagaimanapun, menekankan bahawa Presiden Amerika, Barack Obama sekalipun tidak akan dapat memaksa Kerajaan Israel membuat keputusan dalam isu berkenaan. "Tekanan Amerika hanyalah dari segi psikologi, jangan lupa Presiden Amerika hanya seorang, perlu ambil kira Kongres dan Senat yang menyokong Israel," katanya. Turut mendesak Netanyahu supaya tidak membincangkan isu negara Palestin ialah Benny Begin, menteri tanpa portfolio dan anak lelaki bekas Perdana Menteri, Menahem Begin. "Jika jalan keluar ialah dua negara bagi dua bangsa, penyelesaiannya tiada," kata Benny.
Malah, beliau menuduh pemimpin Palestin tidak mahu pembentukan dua negara sebaliknya mempunyai matlamat 'satu negara ditadbir Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Hamas.' Rabu lalu, lapan Ahli Parlimen Likud menemui Netanyahu bagi meyakinkan beliau tidak menyebut perkataan 'dua negara' dalam ucapannya. "Kami meminta kamu tidak membentuk negara Palestin dalam ucapan di Universiti Bar Ilan," kata Danny Danon yang dipetik media Israel. – AFP

Tuesday, June 9, 2009

Ya Allah.. Hanya pada Mu kami memohon perlindungan & Keselamatan.

Kosmo Online 10 Jun 09
INILAH Masjid Al-Furqan yang mencatat sejarah hitam pada malam kelmarin apabila 11 jemaah termasuk imamnya maut dan 12 cedera dalam
serangan pengganas sewaktu solat Isyak.

NARATHIWAT - Kumpulan enam pengganas berbaju hitam yang menyerang jemaah Masjid Al-Furqan, selatan Narathiwat dekat sini malam kelmarin cukup kejam kerana mereka terus menembak mangsa walaupun ada yang sudah terbaring tidak bernyawa.
Serangan paling kejam itu, dan juga dikatakan yang pertama melibatkan jemaah dalam sebuah masjid di wilayah bergolak itu, mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang.
Selepas melepaskan tembakan dari dua pintu masuk masjid, enam penyerang itu dikatakan masih tidak berpuas hati dan masuk ke dalam sebelum menembak sepuas hati untuk memastikan mangsa mereka benar-benar mati.
Sehingga kini masih belum dapat dipastikan motif sebenar pembunuhan itu tetapi ada yang berpendapat ia akibat dendam. Seorang saksi, Hassan Deraman, 17, berkata, kejadian itu berlaku hanya dalam masa lima minit dengan empat lelaki menyerbu masuk ke dalam masjid dari pintu belakang manakala dua lagi menceroboh dari pintu sisi.
Kesemua pengganas itu dilihat memakai seragam hitam, bertopeng serta bersenjatakan raifal M-16 dan senapang patah.

Ya Allah lindungilah saudara saudara muslim kami di seluruh dunia...

Sunday, May 31, 2009

Ceramah Isu Palestin di kilang CTRM Melaka.

Alhamdulilah Syukur..
Program Ceramah Palestin di CTRM Aero Composites Melaka telah berjaya dilaksanakan pada 29 May 2009. Penceramah Utama Isu Palestine, Saudara Zairi Suboh yang juga Setiausaha Negeri, JIM Melaka

Antara 100 lebih staff dan pekerja yang di pilih Allah untuk mendengar ceramah walaupun seharian penat bekerja.

Penyampaian sumbangan dari staff CTRM kepada rakyat Palestine oleh En. Zulfikar Zikri Dino Haris, Asst. General Manager kepada Saudara Aris Sipan, YDP JIM Daerah Alor Gajah yang mewakili YDP JIM Melaka.

Orang paling sibuk! Dari mula ceramah sampai habis program. Mohd Hazmir yang menjual buku buku mengenai Palestine dan Gaza di mana mana program ceramah Palestine di Melaka.

Moga Allah memberikan ganjaran yang sewajarnya kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Wednesday, May 27, 2009

SOLAT DHUHA.

Fadilat Solat Dhuha

Banyak hadis-hadis yang mengalakkan solat Dhuha dan menyatakan keutamaannya, antaranya dalam riwayat katanya:
1. "Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan" (Abu Hurairah :Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

2. Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab "An-Nurain" sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : "Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan."

3. Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : "Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan." (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi).

4. Daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: "Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: "Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas" (Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)

DOA SOLAT DHUHA

Ya Allah, sesungguhnya waktu dhuha adalah waktu dhuha-Mu, keagungan adalah keagungan-Mu, kebaikan adalah kebaikan-Mu, kekuatan adalah kekuatan-Mu, kekuasaan adalah kekuasaan-Mu, penjagaan adalah penjagaan-Mu. Ya Allah, sekiranya rezki kami di atas langit, turunkanlah, sekiranya dalam bumi, keluarkanlah, bila sukar, mudahkanlah, bila haram, sucikanlah, bila jauh, dekatkanlah, dengan hak waktu dhuha, keagungan, kebaikan, kekuatan dan kekuasaan-Mu. Berilah kepada kami apa-apa yang telah Engkau berikan kepada hamba-hamba-Mu yang soleh.

Tuesday, May 26, 2009

Berhati Hati. Sijil Halal ada yang 'Tak Halal'

Sumber : Harian Metro 27/5/09

KUALA LUMPUR: Berhati-hati apabila menjamu selera di restoran milik pengusaha bukan Islam berikutan siasatan pihak berkuasa mendapati ada antara sijil halal yang tertera pada premis perniagaan berkenaan palsu dan dibeli daripada pihak tertentu pada harga mencecah RM5,000 sekeping semata-mata untuk menarik kedatangan orang Islam menjamu selera di premis mereka.
Difahamkan, penyebaran sijil akuan halal itu mendapat permintaan tinggi di kalangan pengusaha restoran milik bukan Islam bermasalah berikutan pemilik tidak perlu mematuhi syarat dan prosedur pensijilan halal yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini.
Berdasarkan siasatan, sijil akuan halal yang tidak diiktiraf Jakim itu kini dimiliki hampir 50,000 premis makanan terutama pengusaha restoran bukan Islam di seluruh negara. Jurucakap Halal Industry Development Corporation (HDC) berkata, pemantauan dan siasatan dilakukan di beberapa premis makanan mendapati sijil halal tidak sah berkenaan diedarkan individu tertentu yang menjualnya untuk mendapatkan keuntungan lumayan.
Menurutnya, sijil halal tidak sah laku itu jauh berbeza dengan sijil halal Jakim yang kini dikeluarkan HDC berikutan ia tidak dipantau atau dikawal selia mengikut garis panduan sepatutnya.
“Pihak yang mengedarkan sijil berkenaan hanya memikirkan keuntungan apabila menjual sijil halal itu tanpa memikirkan sama ada pemilik restoran mematuhi syarat piawaian pensijilan yang harus dipatuhi.
“Sebagai contoh, premis makanan yang memiliki sijil halal seharusnya mendapatkan bekalan bahan mentah seperti ayam dan daging daripada syarikat pembekal yang turut memperoleh sijil halal sah dari rumah sembelihan diiktiraf Jakim atau HDC. Selain itu, pihak premis makanan perlu memastikan tiada bahan masakan yang diragui digunakan selain memastikan aspek kebersihan dijaga,” katanya.
Malangnya, pihak yang mengeluarkan sijil halal sama seperti sijil Jakim atau HDC ini lepas tangan dan tidak pernah melakukan pemantauan berkala.“Akibatnya ada restoran atau premis makanan ini yang memiliki sijil halal palsu menggunakan bahan masakan diragui halal serta pekerja bukan Islam untuk melakukan tugas memasak selain mengabaikan aspek kebersihan,” katanya.
Jurucakap itu berkata, kelulusan memperoleh sijil halal HDC proses penuh teliti berikutan pemeriksaan mengikut prosedur akan dilakukan auditor syariah dan auditor teknikal (teknologi makanan) bagi memastikan premis terbabit benar-benar layak memiliki sijil halal berkenaan.

Thursday, May 14, 2009

Guru...

Jika hari ini seorang Perdana Menteri Berkuasa
Jika hari ini seorang raja menaiki tahta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa..

Selamat Hari Guru
buat guru guru saya sejak dulu...
1981 - 1982 ~ Sekolah Tadika, Kg Tengah Layang Layang
1983 - 1988 ~ Sek. Keb Pekan Layang Layang
1989 - 1993 ~ Sek. Men Layang Layang
1994 - 1995 ~ Sek Tinggi Kluang Johor
Ustaz & ustazah semasa Sekolah Agama Johor dari Darjah 1 hingga darjah Khas.

Tak lupa juga guru guru tak rasmi yang memberikan tunjuk ajar dan curahan pengalaman sepanjang kehidupan dari dulu hingga kini.
Moga Allah merahmati, melindungi, memberkati, memurahkan rezeki dan memberikan ganjaran sewajarnya di dunia dan akhirat buat kalian semua. Amin..

Sunday, May 10, 2009

SELAMAT HARI IBU..Buat Ibuku



Moga Allah Merahmati Ibuku, Diberkati Hidupnya, Diampuni Dosa-Dosanya, Dikuatkan Imannya, Di Murahkan Rezekinya, Diberikan Kesihatan dan Dipanjangkan Umurnya.
Tanpa Ibu... Siapalah Aku..