Tuesday, December 16, 2008

MOTIVASI PAGI...

RM 500,000 deposit Ferrari
Oleh HISHAM IDRIShisham.idris@kosmo.com.my

BUKAN semua orang mampu mengimpikan sebuah kereta mewah, tambahan pula mobil import berjenama terkenal seperti Ferrari, Lamborghini atau Porsche.
Namun mimpi tersebut kadang-kadang boleh menjadi kenyataan dan salah seorang yang beruntung itu ialah Sani Salleh, yang kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Sani United Sdn. Bhd. (SUSB).
Bagi jejaka berusia 32 tahun yang merupakan bekas anggota kumpulan Impression ini, impian memiliki sebuah kereta Ferrari menjadi kenyataan apabila membeli F 360 Modena sebelum Aidilfitri kira-kira tiga bulan lalu.
Harganya bukan murah, tetapi bagi yang berkemampuan seperti Sani, impian boleh ditukar menjadi kenyataan dengan syarat berupaya membayar RM1.2 juta untuk kereta dua tempat duduk itu.

Mengimbau kembali saat membuat keputusan untuk memiliki sebuah kereta berjenama terkenal buatan Itali ini, Sani berkata, pada satu malam dia bermimpi tentang kereta tersebut. Mimpi memandu dan memegang stereng Ferarri membuatkan dia menjadi tidak keruan lagi.
Apabila terbangun daripada lena, beliau terus membuat keputusan mengunjungi premis jualan kereta itu di Kuala Lumpur pada sebelah paginya.
Dengan deposit RM500,000, kereta berwarna merah darah dengan janaan kuasa enjin V8 itu menjadi haknya tanpa ragu-ragu lagi.
Bagi Sani, jika mampu apa salahnya mengeluarkan wang saku sebanyak RM14,000 sebagai bayaran bulanan asalkan kepuasan memandu kereta berkuasa tinggi.
"Minyak isi penuh RM200, sekadar boleh memandu di bandar Kuala Terengganu untuk dua hingga tiga hari. Jika menuju ke Kuala Lumpur memerlukan kira-kira RM250," katanya.

Pada saat hari pertama kereta itu menjadi miliknya, beliau terpaksa menghabiskan masa seharian bagi mempelajari teknik yang betul untuk memandu kenderaan tersebut.
Kekok, berdebar, teruja, takut dan keliru menjadi mainan perasaan ketika kali pertama memegang stereng.
"Bukan mudah, jika kebiasaan hanya menggunakan sistem pemanduan kereta biasa berbanding dengan kereta Ferrari.
"Sistem gear F1 electrohydraulic shift itu kali pertama saya tahu dan sudah cukup membuatkan saya gementar. Itu belum masuk pekara-perkara lain perlu dipelajari ketika pemanduan semasa membelok, naik bukit, memecut dan membrek.
"Pendek kata jika mahu bawa Ferrari maka perlu belajar dari orang berkelayakan dan bukan belajar dengan buku.

"Mahu tidak mahu, kereta sudah beli, minyak sudah isi, angin tayar sudah mencukupi, enjin sudah dihidupkan. Jawabnya pegang stereng tekan minyak dan jalan perlahan-lahan," gelaknya sambil membayangkan kali pertama memandu.
Bila bercakap tentang kos selenggara kereta merahnya itu, cara paling mudah membuat kiraan ialah bagi setiap 1,000 kilometer perjalanan Sani perlu membelanjakan antara RM1,300 hingga RM1,500.
"Bagi setiap 30,000 kilometer (servis utama), saya perlu membayar sebanyak RM30,000.
"Bila dikira tambah, tolak, bahagi dan darab kesemuanya memerlukan wang, namun bila sudah membuat keputusan beli kenalah tanggung," akui Sani.
Malah, kos setiap kali mencuci kereta mencecah RM18 dan ia bukan dilakukan di kedai biasa tetapi di kedai yang memiliki kemahiran khas di Kuala Lumpur.
Bercakap mengenai nombor plat pendaftaran WQL 1 yang tertera di keretanya, Sani perlu membayar sehingga RM80,000 semata-mata untuk memiliki nombor berkenaan.

Wah! Penulis dan jurugambar terkaku sekejap apabila menghitung secara senyap kesemua kos untuk memiliki sebuah kereta sports.
Lantas, hasrat untuk memiliki kereta seumpama itu dipadamkan dari kotak memori memandangkan hanya mereka yang benar-benar berpoket cukup tebal mampu memandu kenderaan seumpama itu.
Antara kereta dan kekasih
Jika diberi pilihan antara kekasih dan kereta, yang mana satu jadi pilihan?
Sani cuma ketawa apabila diajukan soalan tersebut sebelum menjawab, beliau pasti akan memilih kereta berbanding gadis idaman. Oho.. maka tidak hairanlah kenapa di usia sekarang, Sani masih membujang.
Namun, mungkin kerana ingin menjaga hati si dia yang akan menatap dan membaca ruangan ini, Sani mengakui cinta terhadap kereta berlainan dengan cinta kepada kekasih.
"Kereta cinta dan kasih kerana memikirkan wang ringgit yang perlu dibelanjakan. Cinta kepada kekasih ialah cinta perasaan dan bukan boleh dibeli dengan wang dan cinta itu cinta berkekalan sehingga mati.
"Tetapi di usia muda sudah pasti cinta kepada kereta lagi penting kerana bila sudah tua mana ada orang pandang jika baru mahu beli kereta mahal-mahal.
"Masa muda ini kita perlu memikirkan apa yang kita nak buat dan perkara yang diidamkan selama ini, bila sudah meningkat dewasa baru hendak buat mungkin sudah terlewat," katanya.
Bercakap mengenai sayangnya terhadap kereta baru itu, penyanyi yang pernah bernaung di bawah syarikat Sony Music itu memberitahu, paling lama beliau boleh berpisah dengan kereta selama empat hari.
Jika dalam tempoh itu, tidak memandu si merah kesayangan beliau mula tak senang duduk.
"Kalau balik saya gosok-gosok dengan kain supaya bersih, bagai cinta pandang pertama dan ini memberi kepuasan bila melihat gemerlapan warnanya.
"Kadang-kadang memang hantar kedai untuk dicuci tetapi bila ada masa pasti saya buat semuanya sendiri," katanya.
Siapa tidak teruja apabila melihat sahaja kereta mewah, adatlah jika ada yang menegur sebaik pemiliknya keluar dari kereta dan ini diakui Sani.
Sejak memandu kereta itu ramai gadis yang berani menegur dan ingin berkenalan dengannya.
"Selalu juga bila berada di sebelah kereta, ada wanita yang tegur dan bertanyakan perkara-perkara berkaitan kereta.
"Kadang-kadang hendak ketawa juga bila difikirkan apa yang berlaku, tetapi wanita zaman sekarang bukan macam dahulu.
"Sekarang siapa mula dulu sudah tidak penting, siapa cepat dia dapat dan jika sekadar tegur-tegur biasa itu lazim terjadi," ujarnya.
Kerana perasaan cinta kepada kereta, Sani akui jika terdapat sedikit sahaja kesan calar sudah cukup untuk membuatkan beliau gementar.
"Tiga bulan guna kereta, tiba-tiba ada orang langgar dan bercalar. Mula-mula rasa nak marah dan minta ganti, tetapi bila memikirkan keadaan orang yang langgar jadi kasihan pula.
"Calar pun calarlah, apa boleh buat sebab ada perkara kita boleh bertegas dan ada yang kita terpaksa berlembut," luahnya.
Bagaimanapun, ketika penulis beranggapan Sani sudah menemui kereta idamannya, bagi lelaki sepertinya masih ada kereta lain yang terus menggoda perasaan. Sani bercadang untuk memiliki sebuah kereta jenis Lamborghini selewat-lewatnya pada tahun depan.
Harganya berapa pula? Jangan terkejut kalau tahun depan anda menyaksikan jejaka ini muncul lagi dalam ruangan Mobilku dengan kereta baru yang harganya mencecah RM2 juta itu
.

No comments: